|
Page 1 of 2 Menurut Aziz Desa tentang semangat Mat Jeninnya pada 1 forum di UM pada 26 Februari 2000 sebagai “Tidak ada salahnya saya bersemangat Mat Jenin. Bahkan saya yakin ramai di Malaysia ini yang ada semangat Mat Jenin dalam diri mereka. Cuma mereka mungkin malu untuk mengungkapkan atau tidak sedar kehadiran semangat itu dalam diri masing-masing.” Seterusnya Aziz berkata, “Tanyalah kepada Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Nasamuddin, Tan Sri Samsuddin Abdul Kadir, Tan Sri Azman Hashim, Tan Sri Syed Mokhtar dan ramai lagi usahawan Melayu tersohor di negara ini, apakah mereka pernah berangan-angan sebelum mencapai kejayaan atau mahu menghasilkan sesuatu yang cemerlang.
Bahkan, saya tidak ragu-ragu untuk menyatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, adalah antara orang yang ada angan-angan untuk melihat bangsa, agama dan tanah airnya berada pada 1 tahap yang cukup hebat.” Kata Aziz lagi, “Saya sendiri berjaya menjadi antara perantara popular tv suatu ketika dulu hingga dikagumi kerana mencipta angan-angan untuk menyaingi populariti yang ada pada pengacara Mahadzir Lokman dan Ahmad Tarmimi Serigar. Angan-angan saya tidak kosong, iaitu berwawasan, ada usaha dan didukung rasa kasih serta tunduk kepada kekuasaan ALLAH S.W.T. Alhamdulillah, saya berjaya!”. “Sebenarnya angan-angan yang ada dalam diri saya dan tokoh-tokoh yang saya sebutkan tadi adalah sama seperti angan-angan Mat Jenin yang acap kali dipandang serong oleh segelintir masyarakat kita. Hinakah Mat Jenin yang memasang angan-angan untuk menjual kelapa dan kemudian mahu berurus niaga agar dapat membeli ayam, itik, kambing, kerbau, gajah dan kemudian mahu memiliki puteri raja? Mat Jenin tidak mencuri, tidak menipu dan merasuah bagi mencapai matlamat atau angan-angannya. Dia melakukan pekerjaan mulia dengan memanjat pokok kelapa. Daripada angan-angan beliau yang umum ketahui, adalah jelas Mat Jenin tahu matematik, faham strategi dan akur kepada peribahasa ‘sehari selembar benang lama-lama jadi kain’. Betapa mulia dan hebat angan-angan Mat Jenin. Kalau dia mati, mana mungkin kita tahu perihal angan-angannya? Sebenarnya yang mematikan Mat Jenin adalah penjajah dan orang yang keberatan untuk menerima hakikat bahawa semangat Mat Jenin itu ada dalam setiap diri manusia khususnya bangsa Melayu.” “Mat Jenin adalah symbol kekuatan semangat orang Melayu. Angan-angannya adalah lambang pemikiran kreatif, inovatif lagi futuristic.” “Sudah sampai masanya, tanpa ragu dan segan, kita canang dan nobatkan kemuliaan semangat Mat Jenin itu adalah kita, adalah Melayu yang pada setiap detik dan ketika mahu mencipta angan-angan dan merealisasikan menerusi usaha yang bersungguh-sungguh serta ditokok pula penyerahan diri kepada yang MAHA ESA.” Source : Membina Imaginasi Cemerlang
Views: 1170
|