|
Page 1 of 3 MEMBACA berita mengenai penipuan menerusi Internet memang menyedihkan terutama yang melibatkan kecurian identiti perbankan Internet dan pelaburan berisiko tinggi seperti Swiss Mutual Fund. Ada yang tertipu kerana mudah tergoda dek keinginan untuk menang loteri berjuta ringgit. Ada pula yang digoda dengan apa yang digelar Nigerian Scams - melabur wang sedikit untuk mendapatkan harta-harta karun yang tidak wujud. Sebagai seorang yang telah melayari Internet hampir 20 tahun lamanya, saya mendapati kebanyakan yang ditipu adalah kerana kenaifan diri sendiri. Ramai begitu mudah tergoda oleh tawaran-tawaran yang datang melalui e-mel atau oleh keinginan untuk kaya cepat. Nafsu manusia mudah dirangsang, pantang melihat sesuatu yang berimejkan kekayaan dan kesenangan. Melayari Internet adalah satu dunia yang tersendiri. Tiada apa yang dapat menghalang anda daripada diserang penggodam Internet pada bila-bila masa. Ia boleh muncul dalam e-mel anda, di sesuatu laman web underground, laman web klon atau melalui sembang-sembang. Anda hanya akan sedar anda telah diserang bila komputer anda dipenuhi spyware, trojan atau virus. [Click Read More to read this article]
Kenaifan menggunakan Internet membolehkan identiti dicuri. Ini termasuklah juga identiti e-mel anda dan identiti pelbagai urus niaga kewangan seperti perbankan Internet. Kenaifan melayari Internet juga telah menyebabkan bil-bil telefon melambung atau kad kredit tiba-tiba dicaj dengan jumlah yang membingungkan. Jadi bagaimana untuk memastikan anda bijak untuk menggunakan Internet? Pertama, pastikan komputer anda mempunyai pertahanan yang secukupnya terlebih dahulu. Ini termasuk memasang perisian antivirus dan spyware. Elok juga jika anda mempunyai firewall untuk mengelakkan komputer anda daripada mudah dicerobohi. Kedua, jangan buka e-mel daripada orang yang anda tidak ketahui, yang tiada tajuk atau yang anda ragui. Terus buang e-mel berkenaan. Jika anda membuka juga e-mel berkenaan, pastikan anda tidak klik terus pautan yang disediakan di dalam e-mel tersebut. Biasanya, transaksi dalam talian seperti perbankan Internet tidak akan menghantar e-mel yang mempunyai pautan di dalamnya. Ketiga, sentiasa berhati-hati bila bersembang di dalam chat atau messenger dengan orang yang tidak diketahui. Ingatan ini lebih ditujukan kepada mereka yang tersangat peramah di dalam Internet dan juga kepada remaja-remaja. Jangan mudah membuat sebarang temu janji. Anda sebenarnya tidak mengetahui watak di sebalik sesuatu nama samaran itu. Antivirus Keempat, jangan buka sebarang attachment yang dihantar tanpa diimbas oleh perisian antivirus anda. Attachment ini ada yang dihantar melalui e-mel dan ada juga dihantar melalui messenger menggunakan identiti orang yang anda kenal. Identiti orang-orang yang dikenali diperoleh dengan mencuri masuk ke dalam Microsoft Outlook atau Outlook Express di komputer anda. Kelima, jangan mudah tergoda dengan pelaburan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda dalam masa yang singkat. Jika anda ingin mencari juga wang sampingan di dalam Internet, dapatkan nasihat daripada mereka yang telah lama terlibat di dalam bidang ini. Lebih baik jika anda menyertai papan-papan buletin atau forum-forum yang berkenaan terlebih dahulu. Keenam, jangan mudah mengeluarkan wang deposit dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu. Contohnya, soal selidik yang disediakan melalui beberapa laman-laman web yang menjanjikan bayaran bagi setiap soal selidik jika anda dipilih menjadi pesertanya. Atau, dengan hanya membuat kerja-kerja di rumah anda akan dibayar dengan lumayan. Ketujuh, gunakan akal fikiran anda ketika melayari Internet. Ini juga ditujukan kepada orang-orang Islam yang mencari maklumat mengenai Islam di dalam Internet. Jangan mudah terpengaruh oleh laman-laman web yang diragui di dalam bahasa Indonesia dan Inggeris. Juga laman-laman web yang mengandungi temu bual dengan orang-orang Melayu yang telah murtad. Kelapan, layari Internet dengan cermat. Pastikan matlamat atau tujuan anda melayari Internet. Jangan mudah tersasul dengan melayari tempat-tempat yang boleh menggoda diri anda atau membangkitkan hawa nafsu anda. Walaupun anda seronok tetapi anda menanggung risiko yang akan menyebabkan anda menyesal kelak. Akhir sekali, di dalam Internet telah tersedia berbagai-bagai sumber ilmu. Apa sahaja yang anda ingin pelajari, semuanya boleh didapati secara percuma di dalam Internet. Manfaatkan ilmu dan masa anda melayari Internet! Source : Utusan Malaysia Online Views: 1592
|