|
Page 1 of 2 KOTA BHARU, 15 Okt - Sambil menyifatkan telatah mat-mat rempit di Kelantan masih lagi terkawal, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menasihatkan mereka tidak menjadikan jalan raya sebagai hak individu. "Jalan raya hak orang ramai. Kalau jalan raya hak orang ramai kenalah jagalah. Bila dah keluar di atas jalan raya yakinlah ia adalah kepunyaan orang ramai. "Kalau hendak pandu laju kena tengok orang ada atau tidak. Patuhilah peraturan-peraturan yang ditetapkan," katanya selepas menyampaikan kuih raya kepada pasukan keselamatan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Dewan Teratai di sini, hari ini. Lima pasukan menerima sumbangan tersebut iaitu dari Wilayah Laut 1, Lapan Briged Pengkalan Chepa, pasukan polis, Unit Pencegah Penyeludupan dan Pasukan Gerakan Am. Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato' Ahmad Yakob, anggota-anggota Exco, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran), Dato' Abdul Rahim Hassan. [Click Read More to read full article]
Menteri Besar berkata, keadaan di Kelantan agak terkawal kerana peranan dimainkan ibu bapa, guru-guru dan anggota polis yang sering mengawal pergerakan golongan remaja.
Kata beliau, kalau tidak dikawal dari awal, mat-mat rempit apabila dewasa nanti akan mendatangkan masalah kepada negara sekiranya mereka dilantik menjadi pemimpin. Bagaimanapun menurutnya kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan telah menganjurkan beberapa program bagi mendekati mat rempit antaranya konvoi merdeka dan ekspedisi bermotor. "Kita mengadakan konvoi beramai-ramai dan mereka tidur di pondok-pondok. Ia adalah sebahagian usaha kita hendak mengajar anak-anak muda kita erti sebenarnya kehidupan," ujarnya. Selain itu kerajaan negeri juga menaja tujuh mat rempit yang berpotensi untuk beraksi di Litar Sepang bagi menyertai sirkit peringkat nasional bagi acara cub prix. Sebuah litar lumba juga akan dibina di Tanah Merah tahun depan membabitkan kos RM1.5 juta. Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, remaja yang tidak dididik dengan agama menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan kumpulan mat-mat rempit. Katanya, kehidupan remaja sekarang lebih banyak menghabiskan masa di depan televisyen dengan menyaksikan filem-filem dari Barat yang tidak mencerminkan keadaan akhlak sebenar. "Tiada cara lain kita mesti didik anak-anak dengan agama. Agama dapat mengawal nafsu dan nafsu ini ibu bapa dan polis tidak boleh kawal kecuali diri kita sendiri. "Sebab itu apabila kita hendak sembahyang kita angkat hadas (berwuduk) bagi mengekang nafsu amarah. Nafsu boleh menguasai diri. Kita tidak boleh hendak harap sepenuhnya kepada polis untuk kawal mat rempit kecuali kembali kepada agama," ujarnya. Menurut beliau juga, Islam dari awal lagi menggalakkan pasangan yang ingin berkahwin supaya mencari isteri beragama. Bagaimanapun beliau meluahkan rasa kesal kerana telatah-telatah mat rempit rempit berhampiran Masjid Muhammadi baru-baru ini sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak mati dilanggar. Berucap sebelum itu, beliau berkata, sumbangan yang diberi kerajaan negeri tidak seberapa berbanding pengorbanan anggota pasukan keselamatan bagi mengawal keselamatan negara. "Kerajaan negeri dengan rasa rendah hati menghulurkan sumbangan ini kerana mengingatkan pengorbanan mereka menjaga keselamatan negara. Tanggungjawab mereka adalah selaras dengan kehendak Islam yang mengutamakan aspek keselamatan. "Islam dari awal lagi melarang melakukan perbuatan yang boleh merosakkan ketenteraman awam seperti membunuh, merompak dan menjajah negara lain. Balasan setimpal akan diterima mereka di akhirat kelak," katanya. Beliau juga berdoa supaya Allah SWT melindungi anggota pasukan keselamatan kerana mereka setia bertugas ketika orang lain seronok menyambut hari raya bersama keluarga tersayang. Source : www.harakahdaily.net Views: 1048
|