|
Page 1 of 3 Assalamualaikum dan Salam Bahagia …. Insya Allah, 2 hari lg kita akan menyambut Aidilfitri, Maka mungkin kawan-kawan semua sedang sibuk bersiap sedia untuk balik kampong, buat kuih raya, membeli belah untuk persediaan hari raya dan macam-macam lagi. Seminggu perayaan nie tempat aku tinggal Pasir Mas, pasti akan menjadi Kuala Lumpur untuk sementara waktu kerana ramai perantau balik ke kampong masing2 di Kelantan(Orang Kelantan kan suka merantau), apsal jadik Kuala Lumpur??, heheheh sebab jalan-jalan di sini akan dipenuhi dengan kenderaan dan semestinya akan berlaku jem …. Nak pergi rumah kawan dr sblh barat Pasir Mas ke sebelah Timur Pasir Mas pun pasti akan ambil masa lebih kurang 1 jam lebih …. X caya!!!??? Cubalah bawak kete gi jalan2 raya nanti …. Tp motorsikal … no problem … boleh cilok punya … Opppsss Oklahh … malas nak berceloteh banyak2 … keje byk lg nie … ngan system programing yg aku x reti2 lg nie nak wat, research/study programming lg, testing and error …. Sebenarnya aku post kali nie utk berkongsi maklumat yg aku jumpa dlm 1 laman web yg agak menarik jgak …. www.zaharuddin.com. Aku tertarik dgn 1 artikel iaitu Beberapa Panduan Di Hari Raya Menurut Syariah … Untuk membaca artikel tersebut kliklah Read More ...  [Click Read More ... to read the article]
Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar tentang ‘tawaran’ bonus yang di tawarkan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya. Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan. ` Secara mudahnya, seolah-olah individu yang berpesta maksiat di Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan’ Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal’. Bagaimanapun masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini langsung tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah). Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung di bawah kefahaman Al-Quran ini dalam mengenal dosa dan pahala sejurus selepas Ramadhan ini. Bolehkah Bersuka Ria di Ramadhan? Jika demikian, adakah Muslim di tegah bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?. Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan di zahirkan dalam bentuk yang di terima Islam. Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya : دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد Ertinya : “Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya” ( Riwayat Al-Bukhari) Mukmin sebenar akan gembira kerana mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan di Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh’ dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa “Puasa itu benteng” (Riwayat Al-Bukhari). Justeru, Muslim yang telah berjaya mengasaskan “benteng” di bulan ini. Selain itu gembira juga atas berusaha habis-habisan bagi mendapatkan keampunan Allah SWT, sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW : Ertinya “Seorang mukmin itu adalah seorang yang apabila amalan baiknya, menyebabkan ia bergembira, dan perbuatan buruknya menjadikannya sengsara” Mengapa Mukmin Soleh Bersedih ? Mengapa pula mukmin itu bersedih pula dengan pemergian Ramdahan?. Secara ringkasnya, dengan berdasarkan dalil-dalil yang sohih, peluang dan kemudahan yang diberikan Allah SWT di bulan ini yang pastinya akan dirindui dan di tangisi oleh para mukminin dan solihin adalah :- 1) Peluang untuk meraih ke Syurga yang terbuka luas di dalamnya, berdasarkan hadith yang menyebut tentang pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan Syaitan di belenggu. Lalu mukmin sentiasa bimbang akan penerimaan Allah SWT terhadap diri dan amalannya. 2) Tawaran pengampunan dosa-dosa silam bagi yang berpuasa dan menghidupkan malamnya dengan solat terawih ikhlas kerana Allah. Berdasarkan hadith Bukhari dan Muslim. Tamat jua peruntukan hebat ini di akhir Ramadhan. 3) Kemaqbulan doa yang hebat ketika berpuasa dan berbuka berdasarkan hadith Riwayat Ibn Majah yang sohih. Berlalulah tawaran ini dengan pemergian Ramadhan. 4) Peluang mempertingkat taqwa, iman dan menambah keberkatan dalam hidup dunia dan akhirat. Ia berdasarkan firman Allah SWT. 5) Peluang terbesar di Malam al-Qadar yang amat istimewa. (Rujuk artikel lepas di www.zaharuddin.com) Hasil dari sebab inilah, kita dapati ramai ulama silam di sifatkan amat sedih dengan pemergian Ramadhan, terutamanya apabila memikirkan samada akan dapat bertemu lagi pelaung sehebat Ramadhan di tahun hadapan. Tamatnya Siri Yang Amat Diminati Bagi sesiapa yang ingin memahaminya dengan lebih lagi. Cuba anda bayangkan anda meminati sebuah rancangan drama di televisyen yang disiarkan tepat jam 5-6 petang. Rancangan yang tiada ulangan ini pula sudah anda ikuti siri-sirinya sejak sekian lama, tiba-tiba dengan sebab jem yang teruk di jalanan, anda terlepas dari menyaksikannya. Anda juga tidak pasti bagaimana atau samada anda boleh mendapatkan rancangan ulangannya. Demikian juga anda pasti merasakan sedih kerana rancangan kegemaran anda sudah hampir berakhir. Sedangkan anda masih belum puas menontonnya dan menikmatinya. Demikianlah para mukmin soleh dengan Ramadhan, tamatnya siri hebat ramadhan ini amat memilukan bagi mereka yang hatinya bersinar dengan cahaya iman. Ringkasan Amalan Di Hari Raya Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk :- 1) Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri . Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata : “Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu anataranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”. 2) Menjamah makanan sebelum keluar. Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut : “Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…” 3) Memperbanyakkan Takbir ; Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya. 4) Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain ; Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalahhu minna wa minkum” ertinya : Semoga Allah menerima amalan ( amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”. 5) Memakai pakaian terbaik yang ada ; Bagaimanapun, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Demikian juga, tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam). 6) Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) ; Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari) 7) Berziarah dan merapatkan silaturahmi sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi. Isu Duit Raya Adapun memberikan duit raya kepada kanak-kanak terdapat pro dan kontranya. Yang baiknya adalah ia dapat memupuk semangat dan sifat menderma sebagai hasil kebaikan yang diperolehi dari Ramadhan. Malah, sebenarnya ia lebih baik jika di berikan sebelum tamatnya Ramadhan, ia bertepatan dengan hadith Nabi Saw dari Ibn Abbas r.a yang menyebut :- كان النبي صلى الله عليه وسلم أجود الناس بالخير , وكان أجود ما يكون في رمضان , حين يلقاه جبريل , وكان يلقاه كل ليلة في رمضان حتى ينسلخ , يعرض عليه النبي القران , فإذا لقيه جبريل كان أجود بالخير من الريح المرسلة Ertinya : “Adalah Nabi SAW adalah manusia yang paling bagus dan pemurah dengan segala jenis kebaikan, dan Nabi paling pemurah adalah di bulan Ramadhan, dimana ketika bertemu JIbrail yang datang di setiap hari di bulan ramadhan membentangkan (menyemak) al-Quran dari Nabi SAW, apabila ditemui Jibrail maka Nabi akan menjadi paling pemurah dengan kebaikan lebih dari angina yang bertiup” (Riwayat Al-Bukhari) Justeru, sekiranya ia dapat diberikan dalam bulan Ramdhan sebagai sedeqah sudah tentu, keberkatan pahalanya berlipat kali ganda berbanding memberikannya di bulan syawal, cuma oleh kerana di bulan syawal sahaja kita dapat berkumpul sekeluarga, maka mungkin kerana itulah akhirnya duit sedeqah di akhir Ramadhan itu menjadi ‘duit raya di hari raya’ Bagaimanapun, ia boleh menjadi amat dan sewajarnya di jauhi apabila seseorang ingin menunjuk-nunjuk kekayaannya dengan menayangkan jumlah yang diberinya dan ada pula yang terpaksa berhutang demi memberikan ‘duit raya’. Ini tidaklah di galakkan sama sekali. Apa yang perlu diperhatikan di hari raya ini juga adalah ‘duit raya rasuah’ yang mungkin diberikan oleh ahli perniagaan kepada pegawai tertentu bagi mempengaruhi keputusan pegawai itu di kemudian hari. Ia adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam Islam. Satu lagi yang sangat perlu diambil perhatian adalah, Haram hukumnya memberikan duit raya menggunakan ‘sampul duit’ dari mana-mana bank konvensional. Ini kerana ia di anggap mempromosikan perbankan Riba. Ia jelas termasuk dalam larangan Nabi SAW. Jika ia berlaku, bermakna sedeqah duit raya itu pastinya tergugat pahalanya. Ia sama seperti memberi duit raya menggunakan sampul duit yang tertulis jenama arak. Isu Bermaafan di Hari Raya Amalan maaf bermaafan juga adalah bersifat ‘neutral’ dan boleh diteruskan di hari raya ini asalkan ungkapan kemaafan yang dipinta dan yang diberi adalah beserta penyesalan yang benar atas segala kesilapan yang dilakukan. Ia selaras dengan objektif Ramadhan bagi mencapai keampunan Allah SWT sebagaimana di fahami dari Hadith : أن جبريل دعا على من أدرك رمضان فلم يغفر له , وأمّن عليه رسول الله صلى الله عليه وسلم Ertinya : “Sesungguhnya Jibrail mendoakan keburukan ke atas orang yang bertemu Ramdhan tetapi tidak di ampunkan dosanya, dan di ‘amin’ kan oleh Rasulullah SAW” ( Riwayat AL-Hakim, sohih sanadnya dan disepakati oleh Az-Zahabi, 4/154 ; berkata Al-Haithami ; Perawinya thiqah ) Bagi seseorang yang berdosa dengan Allah SWT, di harapkan keampunan diperolehinya di bulan Ramadhan ini, bagaimanapun, dosa seseorang dengan orang lian , hanya mampu di ampunkan oleh orang yang dizaliminya. Maka objektif keampunan Allah tidak akan tercapai jika tidak ada proses maaf bermaafan di hujung ramadhan atau di awal Syawal, mengambil peluang cuti dan bertemu di hari raya sebagai waktu yang sesuai untuk meminta ampun. Oleh kerana itu, saya secara peribadi tidak nampak sebarang masalah dalam amalan ini selagi mana ia dilaksanakan dengan ilmu dan ikhlas. Wallahu ‘alam. Sekian Ps : Diharap dapat dijadikan panduan utk kita menyambut aidilfitri dengan lebih baik drpd yang sebelumnya …. Views: 1151
|